suria

Warga Asing Ditahan Tipu Wanita Tempatan

KUALA LUMPUR: Wanita bujang, bekerjaya dan kesunyian terus menjadi "buruan" lelaki asing yang berniat melesapkan wang mereka.

Hasil daripada beberapa aduan kes itu, polis membuat serbuan di lapan lokasi sekitar Lembah Klang dan memberkas 20 warga asing serta seorang wanita tempatan kira-kira dua minggu lepas.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki Nigeria, seorang lelaki Ghana, seorang lelaki Ivory Coast, seorang wanita Filipina dan seorang wanita Botswana berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an.

Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ACP Rohaimi Md Isa berkata, polis turut merampas beberapa barangan berharga, wang tunai berjumlah RM42,979 dan 13 unit komputer riba.

"Mereka yang menganggotai beberapa sindiket menjadikan wanita berkerjaya yang melayari laman web sosial sebagai mangsa. Kebanyakannya adalah wanita lewat 40-an yang kesunyian.

"Wanita-wanita ini akan melayari laman web sosial untuk mencari kenalan dan dari situlah lelaki warga Afrika ini akan 'memancing' mereka dengan niat untuk berkenalan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Khamis.

Rohaimi berkata, setelah berkenalan dalam tempoh tertentu, mangsa dijanjikan barangan mewah sebagai hadiah.

"Sindiket ini akan mengirim bungkusan kononnya mengandungi barang kemas dan batu permata kepada mangsa meminta mereka 'menebusnya' di bahagian kastam kerana ditahan atas pelbagai sebab.

"Suspek kemudian menyamar sebagai pegawai kastam dan meminta mangsa menjelaskan wang proses dengan memasukkan wang itu ke dalam akaun seseorang bagi menuntut kembali barangan terbabit.

"Mangsa menyedari ditipu selepas beberapa kali bayaran dibuat tetapi barang yang dituntut tidak juga dikembalikan," katanya.

Beliau berkata semakan nombor pemilik akaun bank yang diberikan sindiket kepada mangsa, didaftarkan atas nama warga tempatan yang dipercayai bersubahat dengan suspek.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan 489 C Kanun Keseksaan.

Sementara itu, sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki terlibat dalam pemalsuan wang ketika sedang memasukkan wang kertas palsu ke dalam sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di Johor Baharu pada 29 Jun lepas.

Rohaimi berkata pasangan itu dipercayai menjalankan aktiviti membuat wang palsu sejak sebulan lepas.

"Mereka akan memasukkan sejumlah wang palsu ke dalam mesin ATM dan kemudian akan membuat pengeluaran wang dengan jumlah yang sama dari bank itu.

"Kegiatan mereka menyebabkan bank terbabit mengalami kerugian lebih RM20,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain