suria

D8 Belum Capai Matlamat Sepenuhnya - TPM

ABUJA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara-negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) perlu menyedari bahawa pergerakan itu masih belum berupaya mencapai objektif sepenuhnya.

Kata beliau, statistik perdagangan di kalangan negara D8 mungkin menunjukkan peningkatan positif namun kejayaan itu berikutan inisiatif perdagangan dua hala sedia ada daripada mendapat manfaat dari kerjasama dan inisiatif D8 sebagai satu pertubuhan.

Mereka perlu mengkaji untuk mencapai kerjasama ekonomi sebenar di kalangan negara anggota, dengan menyokong usahasama pelaburan dan ekonomi untuk meningkatkan matlamat kerjasama ekonomi masing-masing, katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak D8 ke-tujuh di State House Banquet Hall di sini, Khamis.

Sekaligus, tema Sidang Kemuncak ke-tujuh itu "Meningkatkan Kerjasama Pelaburan Di kalangan Negara Anggota D8" yang dipilih oleh negara tuan rumah adalah relevan, katanya.

"Saya merasa positif bahawa tema ini akan merangsang dan menyediakan kita dengan satu sempadan yang berguna bagi dilakukan perbincangan di sidang kemuncak ini, terutama sekali keadaan semasa D8 dan bagaimana untuk meningkatkan kerjasama bagi manfaat bersama," katanya.

Dengan itu, katanya Malaysia mencadangkan program dan aktiviti D8 dinilai semula dan dilakukan semula strategi agar sejajar dengan senarai lima bidang keutamaan kerjasama dan Pelan Cadangan.

Bidang-bidang keutamaan itu ialah perdagangan, pertanian dan keselamatan makanan, kerjasama perindustrian dan enterpris kecil dan sederhana (EKS), pengangkutan dan galian.

Pelan Cadangan itu telah menetapkan perdagangan sesama negara anggota D8 ditingkatkan pada sekurang-kurangnya antara 15 dan 20 peratus daripada perdagangan global menjelang 2018.

Muhyiddin berkata: "Ini menyediakan satu senarai program, aktiviti, penilaian prospek dan potensi yang jelas, bagi menentukan minat negara anggota agar D8 hanya melaksanakan program dan aktiviti yang boleh dicapai.

Semasa Malaysia mempengerusikan D8 sejak Julai 2008, Muhyiddin berkata Kuala Lumpur telah menonjolkan bahawa pergerakan itu mempunyai satu senarai panjang program, aktiviti dan jadual mesyuarat yang dicadangkan tetapi di dalam banyak keadaan, tidak mencukupi kuorom untuk meneruskan mesyuarat berkenaan.

Beliau juga mencadangkan supaya sekretariat membangunkan dengan segera Laman Web Forum Perniagaan D8 di laman laman webnya untuk menggalakkan sektor swasta dan EKS yang tidak dapat menghadiri mesyuarat D8 untuk menggunakan laman web yang dicadangkan itu.

"Saya faham sebagai kerajaan, kita diperlukan untuk menggubal dasar dan mencadangkan inisiatif kerjasama dengan melaksanakan projek sebenar yang bermanfaat kepada rakyat.

"Malangnya, ini tidak berlaku. Ada hubungan yang terputus," katanya.

Muhyiddin berkata, hubungan terputus yang penting itu ialah ketiadaan sektor swasta di dalam program dan aktiviti D8.

"Wujud keperluan segera bagi negara anggota untuk menangani ketidakupayaan untuk menarik minat sektor swasta," katanya.

Mengenai kemajuan yang dicapai D8, Muhyiddin berkata, adalah melegakan bahawa Egypt, Iran dan Turki telah bersetuju untuk mewujudkan satu usaha sama kompleks baja di Egypt.

Menurutnya, Malaysia merasakan bahawa pertanian adalah satu komponen penting kesemua ekonomi negara D8 dan sekaligus, kumpulan itu perlu meningkatkan kerjasama di dalam sektor itu.

Muhyiddin menambah, D8 telah memuktamadkan dan menandatangani tiga perjanjian, iaitu Langkah Memudahkan Prosedur Visa bagi Ahli Perniagaan D8; Perjanjian Keutamaan Perdagangan Di kalangan Negara Anggota D8; dan Perjanjian Pelbagai Hala mengenai Bantuan Pentadbiran di dalam Hal Ehwal Kastam.

Katanya, hanya perjanjian untuk memudahkan prosedur visa bagi ahli perniagaan telah dikuatkuasakan tetapi belum disahkan oleh ketiga-tiga negara anggota itu.

Perjanjian Perdagangan Keutamaan Di Kalangan Negara Anggota D8, yang sepatutnya menjadi sesuatu yang berwajaran tinggi bagi dijalin kerjasama ekonomi perkumpulan itu, hanya disahkan oleh Malaysia dan Iran, katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyerahkan jawatan pengerusi D8 bagi pihak kerajaan Malaysia kepada Presiden Nigeria Dr Goodluck Jonathan.

Beliau turut menyampaikan ucap selamatnya dan ikrar sokongan penuh Malaysia terhadap Prof Ir Widi Agoes Pratikto dari Indonesia yang dicalonkan untuk menggantikan Dr Dipo Alam sebagai Setiausaha Agung D8 untuk mengosi sepenuhnya penggal Indonesia sehingga 31 Disember, 2012.

Hadir sama, Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Turki Presiden Abdullah Gul, Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, Perdana Menteri Egypt Dr Ahmed Nazif, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia M Hatta Rajasa dan Menteri Perdagangan Pakistan Makhdoom Mohammad Amin Fahim.

D8 terdiri daripada kumpulan lapan negara Islam membangun yang diwujudkan pada 1997 itu dianggotai Bangladesh, Egypt, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki. - BERNAMA

Artikel Lain