suria

LKTN Rampas Tembakau Bernilai RM12,000

KOTA BAHARU: Unit Penguatkuasa Lembaga Kenaf & Tembakau Negara (LKTN) berjaya merampas 811 kilogram tembakau awet yang bernilai RM12,002.80 dalam bentuk 15 bandela di sebuah stesen tembakau di Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas, dekat sini.

Ketua Pengarahnya Ahmad Lokman berkata tembakau yang disyaki diseludup dari negara jiran itu dipercayai dibawa masuk ke negeri ini melalui jalan darat dan akan dicampur dengan tembakau keluaran tempatan untuk dijual bagi mengaut keuntungan yang tinggi.

"Ini kerana harga tembakau tersebut di negara asalnya hanya berharga RM10 sekilogram berbanding RM15 sekilogram di pasaran negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata operasi yang diketuai oleh Pegawai Penguatkuasa, Saifulrizam Abu Bakar bersama enam anggota lain itu tidak melibatkan sebarang tangkapan, tetapi pengurus kepada stesen tembakau berkenaan telah disoal siasat dan diambil keterangan untuk tindakan lanjut.

Ahmad berkata berdasarkan Seksyen 49 Akta LKTN 2009 menetapkan bahawa pengawet berlesen di bawah LKTN tidak dibenarkan untuk membeli tembakau diawet daripada pengawet tidak berlesen.

Menurutnya, jika berlaku sebarang pembelian daun tembakau seludup adalah tidak dibenarkan dan mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan itu boleh disabitkan kesalahan dan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

"Kejayaan rampasan ini adalah hasil maklumat orang ramai dan intipan unit penguat kuasa LKTN selama dua minggu di lokasi yang disyaki menyimpan tembakau seludup tersebut.

Beliau berkata, sehingga Julai tahun ini sebanyak dua rampasan dibuat melibatkan nilaian RM38,176.60, berbanding tahun lepas RM17,000 dalam tempoh yang sama.

Ahmad berkata, kejayaan itu berikutan hasil usaha pemantauan dan kecekapan penguatkuasa LKTN menjaga pintu masuk sempadan negara. -BERNAMA

Artikel Lain