suria

Murugiah Tidak Berminat Tubuh Parti Baru, Serah Nasib Kepada PM

KUALA LUMPUR: Datuk T. Murugiah, yang dipecat Parti Progresif Penduduk (PPP) pada Mei tahun lepas, berkata beliau tidak berminat untuk menubuhkan parti baru kerana sudah terdapat lapan parti yang mewakili kaum India di negara ini.

"Saya tidak berniat nak buka parti baru kerana dah ada lapan parti (mewakili kaum India) dan 1.8 juta penduduk India di negara ini akan jadi lebih kecil (keahliannya)", katanya pada program penduduk bersama Biro Pengaduan Awam (BPA) di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini, Selasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Menteri itu juga berkata beliau juga tidak kisah untuk menyertai mana-mana parti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri malah tidak juga mengharapkan apa-apa jawatan di dalam parti yang bakal disertainya.

Mengenai jawatannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Murugiah berkata beliau menyerahkan nasibnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menurutnya keputusan berkaitan nasibnya itu mungkin akan diketahui selepas persidangan Dewan Rakyat selesai pada 15 Julai ini.

Sementara itu, Murugiah yang bertanggungjawab bagi BPA, berkata beliau tidak berpuas hati kerana kebanyakan pengadu yang datang bertemunya adalah terdiri daripada kaum India sahaja. "Jangan kerana saya India, masyarakat Melayu, Cina dan lain-lain tidak mahu bertemu saya. Saya berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengira kaum, yang penting matlamat Perdana Menteri yang mahu rakyat didahulukan dapat saya laksanakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain