suria

Lelaki Dengan Masalah Hutang Hilang Bersama Anak Perempuan

Kristina bersama anak lelakinya Chean Keat, 9 bulan ketika hadir di Pejabat Biro Aduan MCA semalam. Foto The Star oleh SHAUN HO.
Kristina bersama anak lelakinya Chean Keat, 9 bulan ketika hadir di Pejabat Biro Aduan MCA semalam. Foto The Star oleh SHAUN HO.
Kristina bersama anak lelakinya Chean Keat, 9 bulan ketika hadir di Pejabat Biro Aduan MCA semalam. Foto The Star oleh SHAUN HO.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bergurau untuk menjual anak perempuannya bagi menyelesaikan hutang judi telah menghilangkan diri bersama anaknya yang berumur tiga tahun bulan lalu.

Soo Kian Keong, 35, dipercayai telah membawa Nicole Soo Siew Qing keluar makan tengah hari pada 26 Jun lalu dan sejak itu mereka tidak pulang ke rumah sewa mereka di Kelana Jaya.

Ibu mangsa, Kristina, 34 tahun, seorang rakyat Indonesia berkata, suaminya itu meninggalkannya bersama seorang anak lelaki mereka, Chean Keat, yang baru berusia sembilan bulan beserta wang tunai RM100 pada hari kejadian.

"Itu adalah kali pertama suami pernah memberikan saya duit. Kebiasaannya dia hanya membelikan kami makanan. Saya tidak tahu apa yang telah dia lakukan terhadap anak kami, Nicole. Saya harap dia selamat," katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Aduan MCA di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Kristina yang telah membuat satu laporan di balai polis Seapark di Petaling Jaya berkata, dia juga gagal menemui pasport dan sijil kelahiran anak kesayangannya itu.

Katanya lagi, dia berkahwin dengan Soo pada 2006 dan menggambarkan tabiat judi suaminya itu pada tahap kritikal sehingga melibatkan lintah darat.

Tambahnya, suaminya adalah seorang pemandu lori ketika mula-mula mengenalinya dan dia kemudian bekerja di sebuah pub tempat suaminya sering berjudi.

Sementara itu, ahli keluarga Soo juga sebelum ini pernah 'menjaminnya' dengan menyelesaikan hutang judi sebanyak RM40,000.

"Semasa Nicole dilahirkan, dia banyak berhutang dan abangnya telah membantu menyelesaikan segala hutang.

"Malah pada satu kejadian di rumah semasa dia dan rakan perjudiannya bermain mahjung, dia ada menyebut bahawa Nicole akan memberi keuntungan besar kepadanya," katanya yang mula risaukan gurauan suaminya untuk 'menggadaikan' anak kesayangannya itu menjadi kenyataan.

Katanya lagi, ada beberapa pemandu teksi yang dikenalinya memaklumkan bahawa mereka ada terserempak dengan Soo di sebuah kopitiam di Klang dan Wangsa Permai.

“Tetapi mereka tidak melihat Nicole ada bersamanya,” katanya.

Kristina, yang berasal daripada Jawa Timur berkata, dia juga telah diberi notis oleh tuan rumahnya untuk keluar dari rumah tersebut hujung bulan ini.

Artikel Lain