suria

Tindakan Pantas E-Idaman Dapat Pujian Mangsa Tsunami

SUNGAI PETANI: Baru semalam berita mengenai sampah yang tidak dipungut lebih sebulan di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda dilaporkan, hari ini syarikat E-Idaman menghantar tiga buah lori dan sebuah jentolak untuk membersihkannya.

Ketua penduduk Taman Permatang Katong Yusoof Awang berkata penduduk taman melihat tiga buah lori besar dan jentolak tiba seawal 8.30 pagi dan membersihkan longgokan sampah yang bertimbun dan berulat.

"Mereka tidak mengambil masa lama membersihkannya. Saya mewakili semua penduduk mengucapkan terima kasih kepada pengurusan syarikat itu yang sangat prihatin dan bertindak pantas," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan rungutan dan rayuan penduduk Taman Permatang Katong supaya E-Idaman, syarikat yang dilantik bagi memungut dan melupuskan sampah di Kedah segera memungutnya kerana bau busuk sampah menjejaskan kesihatan dan mengganggu kehidupan harian mereka.

Kali terakhir syarikat itu dilaporkan memungut sampah di taman itu pada 22 Mei lepas.

Permatang Katong ialah penempatan mangsa tragedi tsunami Kota Kuala Muda 2004 dan menempatkan 126 keluarga sejak tiga tahun lepas.

E-Idaman menyediakan lima tong sampah, tiga tong berhampiran pintu masuk ke taman dan dua lagi terletak kira-kira 100 meter di dalam kawasan taman perumahan berhampiran Dewan Komuniti Tunku Intan Safizan.

Artikel Lain