suria

Hanya Tiga Peratus Sekolah Berstatus Sangat Teruk

ALOR SETAR: Hanya tiga peratus dari 9,462 sekolah di seluruh negara yang telah diaudit di dapati berada dalam keadaan sangat teruk, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata pengauditan itu bermula awal tahun ini dibuat oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan.

Katanya sekolah-sekolah dalam keadaan sangat teruk itu berada di Sabah dan Sarawak.

"Kementerian akan mengambil tindakan segera memulihkan sekolah-sekolah terbabit atau membina baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian Pokok Sena hari ini.

Menurut Mohd Puad, jawatankuasa itu ditubuhkan khusus bagi mengaudit dan memastikan kemudahan fizikal sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan selain peralatan seperti kerusi dan meja mencukupi.

Katanya satu laporan terbaru mengenai jumlah kos untuk memulihkan sekolah-sekolah yang sangat teruk itu untuk dilaksanakan dalam RMK10 akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Perancangan ini bertujuan merapatkan jurang antara sekolah luar bandar dan bandar," kata Mohd Puad dan menambah pengauditan melibatkan semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Mengenai politik, Mohd Puad yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata jumlah 1.9 juta orang Melayu yang belum mendaftar sebagai pengundi adalah satu jumlah yang sangat besar dan amat membimbangkan.

Katanya beberapa pendekatan perlu dilaksanakan bagi menarik lebih ramai orang Melayu mendaftar termasuk di kalangan ahli Umno sendiri.

"Caranya termasuk pergi terus ke rumah-rumah dengan membawa borang untuk mereka terus didaftarkan sebagai pengundi. Jika kita lebih agresif, saya yakin Umno boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya 60 peratus daripada 1.9 juta masyarakat Melayu dapat didaftarkan sebagai pemilih," katanya.

Beliau juga berkata Umno perlu sentiasa berada dalam suasana pilihan raya iaitu dengan mengandaikan bahawa pilihan raya akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menarik lebih ramai mendaftar sebagai pengundi.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf mendedahkan bahawa seramai 1.9 juta masyarakat Melayu atau 43 peratus daripada 4.3 juta pengundi yang layak mengundi belum mendaftar dengan SPR sejak pilihan raya umum 2008 sehingga Mac lalu. - BERNAMA

Artikel Lain