Yahya Akur Nasihat Perdana Menteri Tentang Isu Pembahagian Kerusi BN - Semasa | mStar

Yahya Akur Nasihat Perdana Menteri Tentang Isu Pembahagian Kerusi BN

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin akur dengan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak membangkitkan isu pengagihan kerusi di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Kita sokong kenyataan Perdana Menteri. Memanglah pembahagian kerusi adalah satu isu yang selalu diperkatakan apatah lagi bila pilihan raya semakin dekat.

"Kadang kala kita tidak boleh henti orang bercakap tentang pembahagian kerusi... itu perkara biasa. Perdana Menteri mohon kita jangan banyak cakap isu tersebut, dan kita akur dan letakkan tanggungjawab pembahagian kawasan ini kepada pucuk pimpinan BN," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meraikan pegawai dan peserta majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan di sini pada Rabu.

Yahya berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib yang juga Presiden UMNO di Penampang, dekat sini pada Selasa yang antara lain menegaskan bahawa belum sampai masanya memutuskan sama ada pengagihan kerusi BN di Sabah dikekalkan status quo ataupun tidak menjelang pilihan raya seterusnya.

Ahad lepas, Yahya menyarankan agar kerusi Parlimen Putatan diserahkan kepada calon UMNO untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang, yang kini diwakili calon daripada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Marcus Majigoh.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua UMNO bahagian Putatan berkata langkah itu wajar memandangkan UMNO adalah tunjang kekuatan BN di kawasan Parlimen itu.

Ditanya sama ada penjelasan perlu diberi kepada penyokong akar umbi tentang perkara itu, Yahya berkata mereka harus sedar perpaduan di kalangan anggota parti komponen BN adalah penting bagi memastikan BN terus kuat dan relevan di mata rakyat.

Beliau juga berharap pemimpin dan anggota UMNO di kawasannya dapat menerima baik nasihat Perdana Menteri demi perpaduan dalam UMNO dan BN.

"Kalau kita tidak bekerjasama, tentu susah bagi kita mendapat sesuatu keputusan yang baik (pada pilihan raya akan datang). Sebab itu, kita perlu bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama, dan bergerak sebagai satu pasukan demi kejayaan BN Sabah," katanya.

Yahya berkata tumpuan kerajaan BN sekarang ialah membangunkan Sabah ke tahap yang lebih baik dalam semua aspek dan membela nasib rakyat terutama penduduk di luar bandar. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain

Nasharudin Mat Isa akan didakwa Selasa