suria

10 Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Kebakaran di Sungai Kerayong

KUALA LUMPUR: Tiga puluh orang daripada 10 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Jejaka Kampung Sungai Kerayong, Taman Maluri Cheras di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Azizan Ismail berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam 2.28 petang tadi mengenai kebakaran itu dan tiba di tempat kejadian kira-kira 8 minit kemudian.

"Setibanya di tempat kejadian, anggota kami mendapati sebahagian besar daripada 10 rumah papan itu musnah dan api marak dengan cepat.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi semua harta benda mereka tidak dapat diselamatkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata 40 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Hang Tuah, Jelatek dan Pudu dan lima sukarelawan dari Bukit Bintang dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah berdekatan.

Azizan tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada litar pintas dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Kesemua mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu akan ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat Sri Alam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain