suria

Tiga Ditahan Disyaki Bookie Pertaruhan Piala Dunia

ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki berumur antara 36 dan 48 tahun yang disyaki menjadi bookie pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia 2010 di tiga tempat berasingan di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Abdul Ghafar Rajab berkata ketika serbuan di Taman Sri Kota, Taman BB Park dan Taman Keranji dekat sini kira-kira pukul 3 pagi, ketiga-tiga suspek sedang rancak menerima pertaruhan bagi perlawanan antara Argentina dan Greece.

"Dalam operasi Ops Soga itu, kita merampas lima komputer, dua laptop, kertas pertaruhan judi bola sepak, buku catatan, mesin kira-kira, telefon bimbit, modem internet dan pendrive," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih meneruskan siasatan dan yakin pertaruhan itu bukan sahaja diterima di daerah Kota Setar malah kawasan lain juga mungkin turut terlibat.

"Kita masih menyiasat nilai pertaruhan dan saya percaya nilainya mencecah jutaan ringgit," katanya sambil menambah bahawa kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata dalam beberapa lagi serbuan yang dibuat sejak awal bulan ini, polis menahan 10 lelaki berumur antara 21 hingga 40 tahun secara berasingan kerana dipercayai terlibat dengan geng samun di sekitar daerah Kota Setar.

"Kumpulan ini melakukan samun dengan memakai topeng dan menggunakan parang dan pedang ke atas kedai komputer dan juga kedai telefon bimbit. Dengan tertangkapnya 10 suspek itu, polis berjaya menyelesaikan dua kes samun dan dua kes ragut di sekitar daerah ini" katanya.

Katanya polis turut merampas sebuah lori dan sebuah kereta jenis Hyundai.

"Semua mereka disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api dan Sekyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barang curi," katanya.

Beliau berkata polis kini mencari empat orang bagi membantu dan melengkapkan siasatan kes tersebut iaitu Khor Wee Ming, 30; R Arumugam atau Arif Abdullah, 27; R Sudiswara, 21; dan E Verugopal, 21.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keempat-empat orang itu menghubungi ASP S Shankar di talian 0174999950 dan Inspektor Johari Yahya di talian 0164030800. - BERNAMA

Artikel Lain