suria

Lebih 153,000 Kenderaan Perdagangan Disaman Dalam 3 Bulan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 153,847 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas kenderaan perdagangan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, saman tersebut meliputi pelbagai kesalahan seperti membawa lebih muatan bagi kenderaan barangan dan lebihan penumpang bagi kenderaan awam serta melanggar syarat permit yang ditetapkan di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334/ ALPKP).

Kesalahan lain, katanya, ialah lesen memandu dan lesen Vokasional (GDL) palsu atau lesen kenderaan motor palsu atau tamat tempoh.

Beliau menjawab soalan Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) yang ingin tahu bidang kuasa JPJ dalam menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) yang melibatkan kenderaan perdagangan serta jumlah tangkapan dan jenis kesalahan kenderaan ini sejak 2008.

Abdul Rahim berkata, bagi tahun 2008, jumlah saman yang dikeluarkan JPJ ke atas kenderaan perdagangan adalah sebanyak 501,991 saman manakala 608,171 saman dikeluarkan sepanjang tahun lepas.

Menyentuh mengenai bidang kuasa JPJ, beliau berkata antara tugas dan tanggungjawab JPJ menerusi peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) ialah menentukan spesifikasi pembinaan dan penggunaan sesebuah kenderaan dan mewajibkan pendaftaran dan pelesenan kenderaan.

Katanya, JPJ juga mempunyai bidang kuasa bagi mewajibkan pemandu kenderaan perdagangan mempunyai lesen memandu kompeten dan vokasional dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang berkaitan dengan kesalahan lalu lintas di bawah APJ termasuk kegiatan 'ulat'.

Menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai tindakan pengusaha van dari Thailand pada 8 Mei lepas yang menyekat kira-kira 30 bas dari Malaysia memasuki negara itu sebagai bantahan terhadap tindakan saman oleh JPJ negara ini terhadap mereka, Abdul Rahim berkata penguatkuasaan perlu dilakukan kerana ada sesetengah dari mereka menyalahgunakan kebebasan keluar masuk yang diberikan.

"Kita pernah mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dihapuskan dua kilometer zon bebas di sempadan Bukit Kayu Hitam dan Thailand kerana ia menimbulkan rungutan di kalangan penyedia perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelancong ke Thailand.

"Ini ekoran ada di kalangan penyedia pengangkutan di Thailand yang bertindak berani melebih dua kilometer yang diisytiharkan sebagai zon bebas.

"Namun, kabinet belum memberikan kata putus dan kelmarin pihak berkuasa Thailand telah datang ke ibu pejabat JPJ bagi membincangkan masalah tersebut," katanya. BERNAMA

Artikel Lain