suria

Pasukan Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 1 April Lepas

KUALA LUMPUR: Satu pasukan nukleus telah diwujudkan bagi menjalankan tugas pengoperasian Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Siap) berkuatkuasa 1 April lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

"Pasukan Nukleus ini juga akan menguruskan pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi dan lima pesuruhjaya Siap bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Ia juga menguruskan pelantikan setiausaha serta pegawai-pegawai utama yang lain bagi membolehkan Siap beroperasi dengan sempurna sebagai satu entiti sebuah badan berkanun," katanya dalam jawapan bertulis beliau kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Lim bertanyakan mengenai kelewatan pelaksanaan suruhanjaya tersebut yang aktanya diwartakan pada 3 September tahun lepas.

Mohamed Nazri berkata Siap yang menggantikan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis Bebas (IPCMC) akan berperanan menerima aduan salah laku daripada orang ramai terhadap seseorang pegawai penguatkuasa atau kepada sesuatu agensi penguatkuasaan.

"Seksyen 1(4) akta suruhanjaya itu menyatakan ia terpakai bagi 21 agensi penguatkuasaan yang telah ditetapkan termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Tenaga Kerja dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan," katanya.

Pengerusi, timbalan pengerusi dan lima pesuruhjaya akan memegang jawatan bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun dan tidak boleh memegang jawatan melebihi dua tempoh berturut-turut, tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain