suria

Tambah Dua Lagi Jawatan Naib Presiden - Mahfuz

KOTA BARU: Jawatan Naib Presiden PAS wajar ditambah kepada lima berbanding hanya tiga pada ketika ini bagi meringankan beban yang dipimpin oleh kepimpinan pusat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, presiden parti boleh membuat dua lagi lantikan bagi jawatan berkenaan manakala tiga lagi dipertanding seperti kebiasaannya.

"Untuk menambah jumlah Naib Presiden ini ada kewajarannya kerana jumlah ahli PAS meningkat setiap masa.

"Ini menyebabkan keperluan tanggungjawab memimpin juga bertambah dari semasa ke semasa dan perlu diwujudkan jawatan tambahan," katanya ketika ditemui media pada Muktamar PAS ke-56, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.

Sebelum ini Dewan Muslimat meluluskan usul agar diwujudkan satu jawatan Naib Presiden untuk anggota wanita parti itu.

Muslimat turut mencadangkan agar jawatan pesuruhjaya keempat diwujudkan di peringkat negeri.

Mengulas lanjut mengenai cadangan agar dua lagi jawatan Naib Presiden dipilih oleh presiden, Mahfuz berkata, ia perlu direalisasikan supaya ia seimbang.

Beliau berharap cadangan itu wajar diketengahkan sama ada sekarang atau pada muktamar akan datang.

Artikel Berikut

Artikel Lain