suria

RMK10 - Pekerjaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memperbaharui pasaran pekerjaan sebagai landasan penting bagi negara berkembang ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, menurut laporan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menurut laporan itu, penekanan akan diberi terhadap peningkatan mobiliti pekerja dan peningkatan kemahiran tenaga kerja semasa, terutama dalam kalangan isi rumah 40 peratus terendah.

Laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini menyebut tumpuan pembaharuan adalah untuk menjadikan pasaran pekerjaan lebih fleksibel; mempertingkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja sedia ada; dan memperkukuh keupayaan Malaysia menarik dan mengekalkan modal insan terbaik.

Dalam tempoh Rancangan itu, usaha akan diambil untuk mengkaji semula undang-undang perburuhan bagi mengoptimumkan keseimbangan antara fleksibiliti pasaran pekerjaan dengan kestabilan pekerjaan serta mempercepat penyelesaian pertikaian pekerja.

Dalam rancangan itu, sebanyak RM80 juta akan diperuntukkan kepada Tabung Bantuan Kehilangan Pekerjaan yang akan diperkenalkan bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja yang diberhentikan dan tidak mendapat pampasan sewajarnya.

Pekerja yang diberhentikan dan layak menerima bantuan akan diberi RM600 sebulan bagi tempoh maksimum enam bulan, dengan syarat mereka masih belum mendapat pekerjaan dalam tempoh tersebut.

Menurut laporan itu, kebergantungan kepada tenaga pekerja asing tidak mahir akan dikurangkan secara berperingkat, namun bagi sektor yang menghadapi kekurangan tenaga kerja, seperti pembinaan dan perladangan akan dibenarkan menggaji pekerja asing berdasarkan kepada keperluan.

Sistem levi multi-tier akan dilaksana ke atas majikan yang mengambil pekerja asing tidak mahir di mana melalui sistem ini, syarikat akan terdorong untuk meningkatkan kemahiran pekerja atau menggaji pekerja asing yang berkemahiran tinggi. Sistem levi baru ini juga bertujuan mengawal kemasukan pekerja asing tidak mahir kerana levi akan dibayar oleh majikan dan bukannya pekerja di mana penetapan kadar levi adalah berasaskan kepada tiga prinsip iaitu bayaran levi berkadar langsung dengan nisbah pekerja asing kepada jumlah pekerja, kadar akan meningkat setiap tahun dan berbeza mengikut tahap kemahiran pekerja asing itu.

Pada masa ini, hanya 28 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam pekerjaan berkemahiran tinggi, dan ini menunjukkan sebahagian besar tenaga kerja mempunyai tahap pencapaian akademik yang rendah.

Oleh yang demikian, dalam RMK-10, kerajaan mensasarkan 33 peratus tenaga kerja dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2015, dan 50 peratus menjelang 2020.

Dalam pada itu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperluas bantuan kewangan daripada lepasan sekolah kepada pekerja, untuk menggalakkan peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja.

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) akan membiayai 80 peratus daripada kos latihan yang ditanggung oleh majikan untuk melatih pekerja mereka di pusat latihan bertauliah. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain