suria

RMK10 - Dana

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan mewujudkan Dana Fasilitasi berjumlah RM20 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) bagi memangkin pelaburan swasta dalam bidang strategik negara.

Kerajaan akan menyediakan infrastruktur dan sokongan seperti geran atau perjanjian offtake (dagangan) bagi membolehkan projek berkenaan berdaya maju.

"Sokongan tersebut akan dipertimbangkan bagi projek swasta yang dapat memberikan faedah sampingan yang besar dan mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," kata Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri dalam Laporan RMK10 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan pelan rancangan itu di Dewan Rakyat hari ini.

EPU berkata kerajaan juga akan melaksanakan fasa baru penswastaan dalam tempoh RMK10.

Penekanan akan diberikan ke arah mewujudkan perkongsian risiko dan pulangan yang saksama dengan sektor swasta termasuk mengamalkan bidaan terbuka bagi pembinaan lebuh raya bertol dan loji janakuasa, katanya.

Selain itu, EPU berkata, pendekatan perkongsian awam-swasta (PPP) akan dilaksanakan bagi memacu pembangunan kluster industri strategik seperti taman perindustrian dan inkubator.

Katanya kerajaan juga akan menjadi rakan pelaburan dengan sektor swasta terutama dalam sektor pertumbuhan tinggi dan strategik melalui agensi dana kerajaan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS).

EPU berkata, kerajaan akan menggalakkan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sektor swasta untuk mendapatkan peluang ekonomi di luar negara.

Kerjasama sektor swasta-GLC juga digalakkan menerokai bidang pertumbuhan baru atau pasaran baru yang berisiko tinggi dan tempoh gestasi yang lebih panjang, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain