suria

Perwakilan Pemuda PAS Mahu Pucuk Pimpinan 'Tawan' Warga Felda

KOTA BARU: Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pahang menegur kepimpinan PAS Pusat kerana mengabaikan masyarakat Felda yang selama ini dilihat menjadi 'simpanan tetap' Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangkan parti itu pada setiap kali pilihan raya.

Wakilnya, Mohd Haris Faizol Ismail berkata, PAS perlu memenangi Pahang yang mempunyai majori pengundi Felda paling ramai di negara ini terlebih dahulu jika ingin mengambil alih pentadbiran Kerajaan Pusat daripada BN.

"Tidak ada pun Lujnah Felda, sedangkan di negara ini ada 317 rancangan Felda dan sekurang-kurangnya lebih 112,000 keluarga. Inilah pengundi yang sepatutnya kita dekati jika mahu mengambil-alih Putrajaya," katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di Kelantan Trade Centre di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, kelompok pengundi Melayu di kalangan warga Felda perlu diberi perhatian di samping usaha untuk mendekati orang bukan Melayu agar menyokong PAS.

"Inilah pengundi Melayu yang kita perlu harapkan, bukannya hanya bergantung kepada undi bukan Melayu.

"Mereka adalah pengundi teras sebenarnya, jika kita mahu menwan Putrajaya, terlebih dulu kena tawan Pahang... jika dapat tawan Pahang barulah dapat menawan Malaysia, kerana Pahang mempunyai pengundi Felda paling ramai yang menjadi nadi Umno dan BN," katanya.

Dalam pada itu beliau turut melahirkan kekecewaan kerana kepimpinan PAS Pusat seolah-olah meminggirkan golongan pengundi Felda.

"Kami di Pahang kesal kerana PAS seolah-olah meminggirkan golongan pengundi Felda terutamanya pengundi generasi kedua apabila tiada suara pembelaan untuk golongan itu walaupun menyedari ianya senjata ampuh Umno dan BN," katanya.

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain