suria

Pemuda PAS Saran Kerajaan Wajibkan Daftar Pengundi

KOTA BAHARU: Dewan Pemuda PAS hari ini menyarankan kerajaan mewajibkan pendaftaran sebagai pemilih bagi mereka yang layak dalam usaha memastikan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya. "Dewan Pemuda PAS menyarankan supaya mendaftar untuk mengundi diwajibkan sebagai satu langkah awal untuk mewajibkan pula rakyat turun mengundi selepas itu," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hasan at-Tantawi.

Beliau berkata peranan golongan muda dalam menentukan hala tuju politik negara tidak dapat diperkasakan sepenuhnya jika mereka tidak mendaftar sebagai pengundi.

Nasrudin berkata kira-kira 28 peratus penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lepas.

"Lebih mengejutkan lagi daripada jumlah itu, 65 peratus adalah Bumiputera dan jumlah ini semakin serius jika tiada langkah diambil," katanya dalam ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Ke-51 di sini, hari ini. Seramai 648 perwakilan Dewan Pemuda itu hadir pada muktamar berkenaan.

Beliau berkata Dewan Pemuda PAS kini kini berusaha untuk menarik sokongan seramai mungkin golongan muda dalam usaha memastikan parti memperoleh sokongan besar pada pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga mencadangkan penubuhan pusat dialog dan peradaban khusus memberikan penerangan mengenai Islam kepada bukan Islam.

Beliau berkata sokongan kepada bukan Islam itu kepada PAS dan pembangkang dilihat semakin meningkat dan dengan adanya pusat itu, pemahaman yang lebih jelas kepada Islam dapat diterangkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain