suria

Pakej Cuti Bersalin Dibawa Ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat cadangan pakej cuti bersalin dan kemudahan lain bagi mewujudkan iklim pekerjaan lebih mesra keluarga.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pakej berkenaan termasuklah cadangan cuti bersalin selama 90 hari yang akan turut menyediakan kemudahan menarik kepada kaum bapa.

"Pakej ini bukan sahaja untuk kaum wanita malah pihak bapa pun akan mendapat kemudahan bagi mewujudkan keseimbangan antara waktu bekerja dan menjalani kehidupan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan R. Sivarasa (PKR-Subang) yang ingin tahu mengapa penglibatan wanita sebagai tenaga buruh tidak banyak berubah iaitu 44.1 peratus pada 1980 berbanding 45.7 peratus pada 2008.

Terdahulu, menjawab soalan asal wakil yang sama, Shahrizat berkata kerajaan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi meningkatkan bilangan wanita yang bekerja.

"Kerajaan telah meminda Akta Kerja 1955 bagi menyediakan peruntukan untuk menggalakkan golongan ibu tunggal dan suri rumah bekerja separuh masa.

"Kerajaan juga mewujudkan portal JobsMalaysia bagi memudahkan wanita yang tidak bekerja mendaftar untuk membolehkan mereka dipadankan dengan pekerjaan sesuai," katanya.

Shahrizat berkata sehingga Mac lepas, seramai 2,458 wanita telah memperoleh pekerjaan menerusi 139 syarikat dalam program bekerja dari rumah yang diwujudkan oleh kementerian itu.

Katanya kementerian juga menggalakkan agar diwujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi membantu wanita yang bekerja mengatasi masalah penjagaan anak.

"Bagi menggalakkan majikan di sektor swasta mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak, mereka dikecuali membayar cukai sebanyak 10 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan Taska untuk tempoh 10 tahun.

"Kerajaan juga memberi geran pelancaran sebanyak RM200,000 kepada majikan sektor awam yang mengambil peranan untuk menubuhkan Taska bagi kanak-kanak," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain