suria

Tidak Perlu Lihat Semula Isu PKFZ, Kata Kong Cho Ha

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan yang baru dilantik Datuk Seri Kong Cho Ha berkata siasatan yang dilakukan ke atas isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebelum ini sudah memadai, justeru ianya tidak perlu terus disiasat.

Bagaimanapun katanya, beliau akan meluangkan masa untuk mengkaji kes tersebut bagi memahami isu sebenar.

"Saya fikir cukuplah dengan siasatan, cukuplah dengan semua kajian. Semua telah dilakukan ke atas isu ini, jadi saya fikir tidak perlu lagi untuk terus melihat ke dalam skandal tersebut," katanya kepada pemberita ketika mengulas isu itu, di sini hari ini.

Mahkamah Sesyen Shah Alam pada bulan lepas menetapkan 13 hari antara 30 September dan 3 Disember ini untuk mendengar kes tiga individu yang didakwa membuat tuntutan palsu membabitkan jumlah jutaan ringgit dalam projek PKFZ.

Ketiga-tiga tertuduh berkenaan ialah bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Law Jenn Dong, 51, Ketua Pegawai Operasi KDSB Steven Abok, 51 dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 48 dari BTA Architect yang merupakan perunding PKFZ.

Turut dihadapkan ke mahkamah ialah bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang Datin Paduka O.C Phang yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM254.85 juta dalam skandal tersebut.

Kong sebelum itu menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Mengulas mengenai tugas baru yang dipikul setelah rombakan kecil Kabinet minggu lepas, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata fokus utamanya adalah untuk memastikan pencapaian yang baik dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam bandar.

Bagaimanapun katanya, beliau perlu memahami fungsi dan tugas setiap jabatan dan agensi di bawah kementerian itu sebelum merangka sebarang pelan.

"Perkara pertama yang perlu dibuat ialah mendengar taklimat daripada setiap jabatan dan saya perlu memahami semua jabatan ini dalam tempoh masa terpendek," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain