suria

Kepimpinan Perdana Menteri Mampu Laksana Perancangan Untuk Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu melaksanakan segala perancangan yang telah disusun dengan berkesan bagi faedah dan kegemilangan bangsa, agama serta tanah air.

"Beta juga amat berbangga dengan catatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini pada kadar 10.1 peratus. Demikian juga, dengan kejayaan negara meningkat dari tangga ke-18 ke tangga 10 daya saing global mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Institute of Management Development," titah baginda.

Kejayaan itu, titah Seri Paduka, menunjukkan suasana pelaburan dalam negara kembali kondusif dan memberangsangkan serta keyakinan rakyat sebagai pengguna semakin meningkat, sekali gus membuktikan keupayaan ekonomi negara untuk berkembang dan memasuki kembali fasa peningkatan yang tinggi serta mapan.

"Menjadi hasrat Beta untuk melihat semua rakyat Malaysia baik di bandar mahupun luar bandar sama-sama menikmati hasil pembangunan negara," titah baginda pada majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun hari keputeran Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.

Mengenai masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang sedang berleluasa, Seri Paduka menggesa semua anggota masyarakat termasuk ibu bapa, guru, para ulama, media dan cendekiawan serta jiran tetangga supaya berganding bahu untuk bersama-sama membantu anggota keselamatan dalam usaha membendung masalah itu secara kolektif.

"Kes pembuangan bayi, jenayah ragut, penderaan kanak-kanak, pembunuhan kejam merupakan sebahagian daripada perlakuan yang sangat tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.

"Barang dijauhkan Allah s.w.t daripada sebarang mala petaka. Beta khuatir, masalah sosial ini jika tidak dibendung dan ditangani dengan segera serta berkesan akan meruntuhkan keharmonian masyarakat, bangsa dan negara," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah amalan rasuah, walaupun tidak menular dengan teruk, perlu diperangi habis-habisan dan kerajaan akan terus menggiatkan usaha-usaha pencegahan rasuah dengan telus dan tegas, tanpa mengira pangkat serta kedudukan dan tanpa mengambil kira sama ada kes berprofil tinggi atau rendah.

Titah baginda pengiktirafan dan penghormatan masyarakat antarabangsa terhadap negara membolehkan Malaysia memainkan peranan yang aktif dalam menangani pelbagai isu antarabangsa.

"Beta yakin penghormatan masyarakat luar ini berpunca daripada kejayaan negara kita untuk menjadi sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik. Penghayatan terhadap ajaran Islam yang sebenar akan terus memacu kita ke arah kejayaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat," titah Seri Paduka.

Baginda berharap rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan dan terus bersatu kerana ia merupakan sumber kekuatan negara.

"Beta bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama, kita dilindungi daripada sengketa dan kekacauan.

"Kita telah bersama-sama membuktikan bahawa walaupun berbeza agama, budaya dan cara hidup, kita masih dapat tinggal bersama dalam keadaan aman sentosa dan saling menghormati," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan rakyat mengenai tangungjawab mereka mempertahan, membangun dan mendaulatkan negara.

"Tidak ada mana-mana negara dalam dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta nama hanya bergantung kepada inisiatif pemerintah dan pentadbir, tanpa sokongan dan peranan yang dimainkan oleh seluruh warganya," titah baginda.

Pada majlis hari ini, Seri Paduka turut menyampaikan anugerah darjah dan pingat kebesaran kepada 39 penerima.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman. - BERNAMA

Artikel Lain