suria

Rachel Corrie Akan Teruskan Pelayaran Ke Gaza - Dr. M

KUALA LUMPUR: Kapal Rachel Corrie yang cuba ketika ini menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan enam warga Malaysia berada dalam kapal itu, akan meneruskan rancangannya.

Ia diteruskan walaupun Israel tetap akan memintas kapal itu selepas sebuah kapal Turki dengan misi serupa telah diserang tentera marinnya semalam.

Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kapal itu tetap meneruskan pelayaran melalui perairan Gaza dan tidak akan melalui perairan Israel.

"Kapal itu tidak akan melalui perairan Iarael. Kenapa pula Israel mahu menghalang orang daripada pergi ke Gaza dan tidak melalui kawasan perairan Israel langsung. Mereka tidak berhak berbuat demikian," katanya.

Malahan, Dr Mahathir berkata dua buah kapal lagi akan belayar ke Gaza dan terdapat warga Malaysia dalam kapal berkenaan.

"Pelayaran kapal itu tertangguh kerana mengalami masalah pada enjin. Mereka berlepas dari Ireland dan perlu melalui jarak lebih jauh tetapi tetap meneruskan pelayaran ke Gaza," katanya dalam temu bual dengan stesen penyiaran Al-Jazeera hari ini.

Sebuah kapal yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Rachael Corrie yang membawa enam penumpang dari Malaysia kini dalam perjalanan ke Israel.

Terdahulu Setiausaha Dr. Mahathir, Sufi Yusoff berkata pada pukul 10 pagi tadi beliau telah berjaya menghubungi wartawan Shamsul Kamar yang berada di dalam kapal berkenaan menggunakan perkhidmatan satelit.

Katanya, Shamsul mendakwa agak sukar untuk kapal berkenaan tiba di Gaza pada masa yang ditetapkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Menurutnya, seramai 19 orang berada di atas kapal berkenaan dengan enam orang rakyat Malaysia, lima rakyat Ireland disamping lapan anak kapal.

"Kami ingin menegaskan bahawa ini merupakan misi kemanusiaan sepenuhnya. Tiada ada elemen pengganas dalam kapal ini.

"Tentera Israel tidak punya sebab untuk menyerang kapal ini," katanya.

Selain daripada wartawan kanan tersebut, turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan itu ialah peguam, Mathias Chang,. Ahli Parlimen Parit, Nizar Zakaria dan aktivis, Ahmad Faizal Azumu serta wartawan Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Halim Mohamed dan Jufri Junid.

Sementara warga Ireland terbabit terdiri daripada, Nobel Peace Laurate Mairead Maguire dan bekas Pembantu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Denis Halliday.

Kapal berkenaan sepatutnya berlepas lebih awal namun menghadapi masalah meknikal dan hanya berlepas daripada Matla pada 30 May lalu.

Pagi semalam, kapal Mavi Marmara diserang tentera Israel ketika misi kemanusiaan menghantar bantuan untuk penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Setakat tengah malam tadi, sekurang-kurangnya 19 orang dilaporkan mati dan berpuluh lain cedera dalam serbuan komando Israel ketika kapal itu berada di perairan antarabangsa, di luar pantai Gaza.

Sehingga kini nasib 11 rakyat Malaysia termasuk dua krew televisyen Astro Awani yang berada atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel pagi semalam masih belum diketahui.

Mereka yang menyertai misi bantuan kemanusiaan itu ialah Noorazman Mohd Shamsuddin, Dr Mohd Arba Ai Shawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan, Dr Selamat Aliman, Jamaluddin Elias, Al Hami Hussian Suhaimi, Mohd Nizam Mohamad, Abd Halim Mohamed Redzuan, Hasanuddin Aqsi As Syarif.

Dua krew Astro Awani ialah wartawan Ashwad Ismail dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip.

Kapal Rachie Corrie membawa muatan kargo berisi barang untuk pembinaan, ubat-ubatan dan peralatan pendidikan sumbangan daripada negara Malaysia, Ireland, Scotland dan Britain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain