suria

Polis KL Tubuh Pasukan Cegah Anggota Terlibat Jenayah

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur telah menubuhkan satu pasukan tatatertib bagi mengawasi anggotanya yang menjalankan tugas di sekitar bandar raya agar tidak terlibat dalam jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pasukan itu akan memantau anggota polis setiap masa agar tidak melakukan sebarang jenayah termasuk rasuah, dadah dan samun.

"Ketika bertugas kita mahukan setiap anggota mempamerkan mutu kerja yang baik kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur.

Muhammad Sabtu berkata, pasukan yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat Timbalan Penguasa Polis (DSP) itu mempunyai 28 anggota termasuk pegawai polis.

"Kita akan memantau selama 24 jam ketika anggota polis sedang bertugas membuat rondaan dan sebagainya. Anggota yang terlibat dalam jenayah kita akan laporkan kepada jabatan pengurusan (Polis Diraja Malaysia) serta-merta," katanya.

Beliau berkata, ada anggota polis yang membuat surat penjelasan selepas dilaporkan terlibat dalam kes jenayah, dan mereka akan dibenarkan bertugas semula sekiranya didapati tidak bersalah.

Muhammad Sabtu turut mengingatkan pegawai polis berpangkat tinggi supaya tidak malu untuk bergaul dengan anggota berpangkat rendah.

"Pegawai atasan jangan segan untuk duduk semeja dengan anak buah. Dalam bidang ini kita tiada perbezaan taraf," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain