suria

Keputusan Permohonan Semakan Kehakiman Oleh Murugiah 22 Jun Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 22 Jun ini untuk memutuskan permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Datuk T. Murugiah bagi membatalkan perisytiharan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa Datuk M. Kayveas merupakan presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menetapkan tarikh tersebut dalam kamar.

Peguam Mohana Krishnan bertindak bagi Murugiah manakala ROS tidak diwakili.

Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, memfailkan permohonan itu pada 26 April lalu dengan menuntut sebuah perintah 'certiorari' bagi membatalkan keputusan ROS bertarikh 26 Ogos tahun lepas.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa keputusan itu adalah 'ultra vires' (melampaui batasan undang-undang) dan tidak sah.

ROS bukan sahaja mengesahkan Kavyeas sebagai presiden PPP yang sah tetapi juga memutuskan pelantikan Murugiah sebagai presiden pada 24 Mei, 2009, pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) sebagai tidak sah.

ROS juga menyifatkan pemecatan Murugiah daripada PPP dilakukan mengikut peruntukan dalam perlembagaan parti itu dan oleh itu ianya adalah sah.

Murugiah juga menuntut sebuah deklarasi bahawa ROS tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pertubuhan untuk membuat sebarang keputusan mengenai kesahihan atau sebaliknya mesyuarat EGM parti itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain