suria

Saiz Sambutan Terhadap Perhimpunan GAS Tidak Cermin Sokongan: Dr Subramaniam

PUTRAJAYA: Naib Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, sekalipun perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) pada Ahad ini disertai ramai anggota parti, keadaan itu tidak menggambarkan sokongan sebenar terhadap gerakan tersebut.

"Mempunyai ramai peserta dalam perhimpunan bukan petunjuk sokongan. Kadang-kadang semasa pilihan raya kecil, anda pergi ke ceramah-ceramah pemimpin pembangkang dan mendapati 20,000 hingga 30,000 orang hadir dengar.

"Kadang-kadang semasa ceramah kita pula cuma dihadiri 1,000 orang, tetapi ianya tidak bermakna kita kurang popular berbanding mereka, tidak bermakna kita harus putus asa hanya kerana ada 20,000 orang di ceramah mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan di di sini hari ini.

Justeru, kata Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia, masyarakat tidak harus mengukur sokongan kepada GAS berdasarkan jumlah kehadiran peserta pada perhimpunan tersebut.

Beliau bagaimanapun meminta anggota MIC agar tidak menghadiri perhimpunan itu yang dianjurkan bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan bertujuan mendesak Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu agar berundur pada Julai ini dan bukan September 2011 seperti yang dirancangnya.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata, proses peralihan kuasa tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana perlu mengambil kira banyak faktor termasuk kestabilan parti bagi tempoh jangka panjang.

"Saya telah jelaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Presiden parti mesti diterima oleh semua pihak dan jangan lakukan apa-apa perkara yang boleh mengancam parti.

"Apa yang berlaku pada masa ini bukan satu contoh yang baik. Jika budaya ini diwujudkan di dalam negara yang menyaksikan seorang pemimpin boleh dijatuhkan daripada tekanan yang diberi oleh orang luar, budaya ini akan menjadi contoh dan akan mengancam kestabilan negara daripada banyak segi," katanya.

Beliau berkata, jika perkara itu berlaku dalam MIC, ianya juga boleh berlaku dalam parti-parti lain termasuk Umno dan MCA.

Diminta mengulas mengenai kenyataan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC S. Vell Paari yang mendakwa Umno terlibat dalam usaha pembunuhan politik Samy Vellu, Dr Subramaniam berkata MIC menerima kenyataan pemimpin-pemimpin Umno bahawa parti itu tidak mempunyai kaitan dalam isu tersebut.

"Kita terima penjelasan yang diberi. Jadi kita harap selepas ini isu ini tidak akan timbul lagi," katanya.

Mengenai desakan agar Vell Paari yang juga anak Samy Vellu memohon maaf, Subramaniam berkata:" Beliau sudah memberitahu pendiriannya di dalam hal itu." - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain