suria

Pegawai Polis IPD Alor Setar Didakwa Terima Rasuah RM10,000

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar, Kedah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah RM10,000 sebagai dorongan untuk melepaskan tiga tertuduh yang dikatakan terlibat dalam kes culik.

Asisten Supritendan Mohd Hameleay Abdul Mutalib, 29, didakwa menerima rasuah itu melalui Akaun Simpanan CIMB Bank daripada Chung Ng Moi, 36, sebagai dorongan untuk melepaskan dirinya, Wong Chee Kong dan Chun King On.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Bandar Tun Razak di sini pada 23 Januari 2009, mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nur Eylia Yunos menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin atas alasan nilai rasuah yang terlibat adalah RM10,000 dan melibatkan penjawat awam.

Mohd Hameleay diwakili peguam Fadiah Nadwa Fikri merayu agar mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan anak guamnya itu perlu menjaga dan menanggung ibu bapa yang semakin uzur, selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

Hakim Rosbiahanim Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain