suria

SPRM Terima Aduan Politik Wang Dalam PRK Sibu, Hulu Selangor

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima aduan mengenai politik wang semasa pilihan raya kecil Parlimen di Sibu dan Hulu Selangor, kata Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, SPRM akan menyiasat semua aduan itu dan apa sahaja yang berkaitan dengan rasuah, katanya kepada pemberita selepas melancarkan sebuah buku bertajuk "Reforming Political Financing in Malaysia" yang diterbitkan oleh Tranparency-International Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali berkata, semua aduan itu diterima daripada Barisan Nasional dan pakatan pembangkang.

"Kami akan mengambil tindakan mengenainya (aduan-aduan). Kami akan memanggil saksi untuk memberi keterangan dan sesiapa sahaja yang berkaitan kes dari kedua-dua pihak itu," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sama ada terdapat kes untuk dibawa ke mahkamah, semuanya bergantung kepada keputusan Pejabat Peguam Negara.

Mengenai isu kerugian Sime Darby, Mustafar berkata, SPRM belum merekodkan keterangan daripada mana-mana pihak mengenai isu Sime Darby Bhd yang mengalami kerugian sebanyak RM964 juta. - BERNAMA

Artikel Lain