suria

Pelatih PLKN Mati Kerana Acute Leukemia

KUALA LUMPUR: Seorang pelatih khidmat negara meninggal dunia semalam kerana penyakit acute leukemia yang hanya diketahui oleh keluarganya apabila diberitahu pakar perubatan.

Chu Kar Wai, 18, yang mengikuti latihan di Kem Akademi Kepimpinan Segari di Pantai Remis, Perak, meninggal dunia pada pukul 2.20 petang semalam dan jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Shah Alam pukul 11 malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata demikian selepas menghadiri seminar komandan-komandan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini, hari ini.

"Mendiang meninggal dunia di Hospital Seri Manjung,Perak. Sebelum ini pada 8 Mei lepas, Chu telah mendapat rawatan awal dari Penolong Pegawai Perubatan di klinik kem berkenaan kerana demam dan sekali lagi mengalami demam pada 10 Mei dan telah dirujuk ke hospital.

"Keluarga terdekat iaitu ibu bapa mendiang dimaklumkan berhubung perkara itu dan berada di samping pelatih terbabit sejak dia dimasukkan ke wad sehingga dia meninggal dunia. Kita difahamkan penyakit yang dihidapi Chu tidak disedari ibunya sehingga diberitahu pakar," katanya.

Rekod pengesahan kesihatan Chu tidak melaporkan remaja itu mempunyai penyakit.

Ditanya sama ada keluarga Chu menyalahkan JLKN berhubung insiden itu, Abdul Hadi berkata, keluarga berkenaan dapat menerimanya dengan baik setelah diterangkan pakar perubatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dimaklumkan berhubung perkara itu dan beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

JLKN menyerahkan RM3,000 kepada keluarga Chu untuk urusan pengkebumian sebagai sebahagian daripada pelindungan insurans berjumlah RM55,000.

Sementara itu, Abdul Hadi menggesa semua ibu bapa supaya memastikan borang pengesahan kesihatan pelatih diisi dengan telus serta memahami setiap butiran yang terdapat dalam borang itu.

"Jika tidak pasti, mereka boleh mendapatkan penjelasan dengan doktor," katanya.

Berhubung dua kem PLKN di Negeri Sembilan dan Pahang yang ditutup masing-masing pada 7 April dan 10 Mei lepas, Abdul Hadi berkata mereka mempunyai tempoh tiga bulan untuk membuat penambahbaikan termasuk daripada aspek kebersihan dan keselamatan sebelum ia dibenar beroperasi semula.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelatih tidak diambil ringan oleh pengurus kem itu.

"Jika dalam masa tiga bulan mereka masih tidak dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh JLKN, kita tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak kem itu.

"Kita juga akan mengeluarkan pelatih di kem yang gagal memenuhi apa yang telah ditetapkan oleh kita kerana kita tidak mahu ada yang mengambil ringan perkara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain