suria

Mohd Saiful Tetap Dengan Pendirian Kejadian Liwat Adalah Tanpa Kerelaannya

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang beliau tetap dengan pendiriannya bahawa kejadian liwat yang didakwanya itu adalah tanpa kerelaannya.

Mohd Saiful, 25, yang memakai kot hitam dan berkemeja biru, berkata demikian semasa di soal balas oleh peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan ketika kes itu disambung semula pada Selasa di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Beliau yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar berkata beliau membuat kenyataan itu dalam pernyataan saksi yang diberikannya kepada pegawai polis dan beliau tidak pasti sama ada pernah membuat kenyataan yang sama di luar mahkamah.

Karpal: Semalam anda kata ada beberapa kenyataan direkodkan oleh polis?

Mohd Saiful : Ya

Karpal: Di mana kenyataan itu direkodkan?

Mohd Saiful: Di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan di beberapa tempat lain

Karpal: Anda tetap dengan pendirian semalam iaitu "tanpa kerelaan"

Mohd Saiful: Ya, tetap sama.

Pada peringkat itu, Karpal Singh menyatakan mengenai kemungkinan untuk mencabar kesahihan kenyataan Mohd Saiful itu atas alasan wujud percanggahan antara kenyataannya kepada polis dan keterangannya di mahkamah dalam pertuduhan terhadap Anwar.

Peguam itu berkata Mohd Saiful, dalam kenyataannya kepada polis menyatakan kejadian liwat yang didakwa itu berlaku tanpa kerelaannya manakala pihak pendakwaan menuduh Anwar mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seksual secara sukarela.

Katanya jika kejadian itu berlaku tanpa kerelaan, pihak pendakwaan sepatutnya mendakwa anak guamnya mengikut Seksyen 337C kanun yang sama.

Karpal Singh berkata di bawah Seksyen 377B, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan manakala mengikut Seksyen 377C, hukuman diperuntukkan ialah penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan.

Katanya berikutan percanggahan itu, pihak pembelaan perlu meneliti kenyataan saksi bagi membolehkan kemungkinan bagi pihak pembelaan mencabar kesahihan keterangan Mohd Saiful.

"Di bawah keadaan ini, ia masih satu kesalahan. Hubungan seksual secara sukarela antara lelaki bukan satu kesalahan di negara lain. Kami mempunyai gerak hati bahawa keterangan yang diberikan di mahkamah adalah bercanggah dengan kenyataannya. Dengan ini kami mempunyai hak untuk memeriksa dan meneruskan tindakan mencabar kesahihan kenyataan itu," katanya.

Karpal Singh berkata saksi berulang kali menyatakan kejadian liwat itu adalah tanpa kerelaannya.

Ini merupakan kali pertama kes liwat yang tertuduh didakwa melakukannya secara sukarela walaupun kenyataan dan keterangan dibuat pengadu adalah tanpa kerelaannya, katanya.

Dalam jawapan balas terhadap hujahan Karpal Singh, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abidin, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkata tiada asas bagi permohonan Karpal Singh itu kerana adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara untuk mendakwa seseorang itu mengikut mana-mana seksyen.

Beliau berkata Anwar didakwa mengikut pertuduhan yang memperuntukkan hukuman lebih ringan dan bidang kuasa pihak pendakwaan tidak boleh dipersoalkan.

"Tidak terdapat perbezaan antara Seksyen 377B dan Seksyen 377C, perbuatan melakukan hubungan seksual di dubur ialah satu kesalahan sama ada secara sukarela mahupun tanpa sukarela. Ia tidak memperuntukkan kesalahan yang berbeza, hanya membabitkan hukuman lebih berat. Jika tanpa kerelaan, ia memperuntukkan penalti lebih berat.

"Dalam hujahan saya, tidak terdapat gerak hati untuk menjustifikasikan mahkamah ini untuk meneliti kenyataan itu atau malahan membekalkan kenyataan itu kepada pihak pembelaan," katanya.

Hakim Mohamad Zabidin menangguhkan penghakimannya kepada Rabu kerana beliau perlu meneliti perkara itu.

Anwar, 63, anggota Parlimen Permatang Pauh dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Beliau pertama kali didakwa di mahkamah pada Ogos 2008. - BERNAMA

Artikel Lain