suria

Projek 'Little India' Mula Dua Minggu Lagi -Nong Chik

KUALA LUMPUR: Fasa pertama projek menaik taraf Brickfields sebagai "Little India" di sini akan dimulakan dua minggu lagi, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata keputusan itu dicapai selepas kerajaan mendapat persetujuan 67 penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan mengenai pemindahan mereka ke lokasi perniagaan lain bagi membolehkan projek menaik taraf itu berjalan lancar.

"Seluruh penduduk bersetuju dengan pembangunan Little India, tidak ada yang membantah dan ia akan dilakukan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan Kawasan Brickfields di Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata projek yang akan dijalankan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu melibatkan kawasan dari Jalan Travers sehingga Jalan Tun Sambanthan dengan fasa pertama bernilai RM7 juta dijangka siap November ini.

Projek itu, yang akan melalui dua fasa dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM35 juta, melibatkan pembinaan ruang perniagaan baru yang lebih selesa, bangunan tempat letak kereta, dan pembesaran jalan.

"Saya yakin bila semua ini siap, dengan keindahan dan pelbagai kemudahan yang akan dibina, saya yakin ramai penduduk, peniaga dan pengguna akan bersetuju dengan pembangunan ini," katanya.

Raja Nong Chik berkata kerajaan juga bersetuju menjadikan Jalan Tun Sambanthan sebagai jalan sehala dan Jalan Sultan Abdul Samad kekal dua hala bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

"Perkara ini telah tergantung lebih 3 bulan walaupun kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk penyuraian trafik bagi kawasan Brickfields ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain