suria

Tiga Saksi Kes Kematian Aminulrasyid Dipanggil Semula Beri Keterangan

SHAH ALAM: Tiga saksi dalam siasatan kes kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, akibat terkena tembakan polis Isnin lepas, dipanggil semula oleh polis untuk memberikan keterangan lanjut berhubung insiden itu.

Ketiga-tiga saksi itu ialah saksi utama yang merupakan rakan kepada Aminulrasyid yang berada bersama remaja itu ketika kejadian berlaku dan dua anggota keluarga remaja itu.

Mereka yang ditemani tiga orang peguam iaitu N. Surendran, Fadia Nadwa Fikri dan Farhana Abdul Halim tiba di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini kira-kira pukul 11.45 pagi tadi dan keluar pada kira-kira 1.10 tengah hari.

Ketika ditemui pemberita, Surendran berkata keterangan saksi utama telah direkodkan oleh Deputi Supritendan Nazri Zawawi manakala keterangan dua lagi saksi direkodkan oleh Asisten Supritendan Halim Ismail.

Katanya ketiga-tiga saksi dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut atas arahan Peguam Negara, Jumaat lepas yang mahu siasatan lebih lengkap dijalankan berhubung insiden itu.

Katanya pihaknya dimaklumkan oleh polis mengenai perkara itu semalam tetapi meminta polis merakamkam keterangan ketiga-tiga saksi hari ini disebabkan rakan remaja itu masih berada dalam keadaan trauma.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi Isnin lepas, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11 di sini. Rakan remaja itu sempat melarikan diri.

Satu panel khas yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Pelbagai pihak seperti Majlis Peguam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan polis dilaporkan mahu inkues dijalankan berhubung kes berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

36 Kes Baru H1N1

Artikel Lain