suria

Pemandu Lori, Anak Ditahan Reman Siasatan Kes Kematian Jiran

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dan anak lelakinya seorang penganggur, ditahan reman semalam berhubung siasatan kes memukul seorang jiran dengan kayu besbol sehingga menyebabkan kematiannya di Bandar Baru Sentul awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kedua-dua lelaki yang berusia 51 dan 23 tahun itu ditahan reman selama seminggu.

Zakaria berkata hasil daripada bedah siasat ke atas mangsa mendapati mangsa memang dipukul di bahagian kepala dengan menggunakan objek tumpul.

"Laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati mangsa telah meninggal dunia tiga jam selepas di masukkan ke hospital itu akibat mengalami kecederaan teruk di kepala," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Pada kejadian di Blok 75 Pangsapuri Sri Sentul, kira-kira pukul 1 pagi, mangsa Cheong Sin, 51, menegur dua beranak itu yang juga jirannya kerana membuang sampah di hadapan rumahnya.

Pertengkaran berlaku sehingga seorang daripada suspek itu bertindak memukul mangsa dengan sebatang kayu besbol sehingga menyebabkan mangsa parah.

Sementara itu, Zakaria mengalu-alukan orang ramai hadir ke program balai polis terbuka sempena sambutan Hari Polis ke-203 di Balai Polis Wangsa Maju pada Sabtu ini antara 9 pagi hingga 4 ptg.

"Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program itu. Pada program itu orang awam dapat berkongsi maklumat dengan polis dan mereka juga boleh mendalami bagaimana tugas sebagai seorang anggota polis," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain