suria

Penahanan Semula Benjy Kerana Aktiviti Dadah

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy ditahan semula di bawah Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana dikenal pasti terbabit dalam pemerosesan dadah dan aktiviti pengedaran, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Najib Zakaria berkata, adalah wajar demi kepentingan awam untuk menahan semula pelakon itu bagi membolehkan orang lain yang terbabit dengan tertuduh dalam aktiviti dadah dapat ditahan.

"Tidak ada keterangan afidavit oleh pemohon untuk menunjukkan bahawa siasatan polis tidak diteruskan secara serius. Paling sudah, hujahan pemohon adalah salah faham usaha murni pasukan polis untuk membendung gejala berkaitan aktiviti dadah," katanya semasa membalas hujahan peguam Benjy, Amer Hamzah Arshad.

Semalam, Amer Hamzah mengemukakan penahanan semula Benjy dilakukan dalam usaha menyelamatkan imej polis yang tidak berupaya mendakwanya atas kesalahan mengedar dadah.

Najib berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak ketika mendengar permohonan 'habeas corpus' yang difailkan oleh pelakon itu untuk dibebaskan segera.

Benjy, 32, anak lelaki tunggal pelakon veteran, Azean Irdawaty, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memiliki 0.24gm methamphetamine di sebuah rumah di A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, off Jalan Segambut di sini pada 4 petang, 11 Mac lalu.

Sebaik sahaja dibenarkan ikat jamin, dia ditahan semula kerana didakwa terbabit dalam pengedaran dadah.

Dalam permohonan yang difailkan 8 April lalu, Benjy menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai pihak responden, serta menuntut sebuah perintah dia tidak akan ditahan semula selepas pembebasannya.

Menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Amer Hamzah, Najib, yang mewakili responden, berkata polis berhak mengadakan sidang akhbar untuk memberikan maklumat tepat yang tidak menjejaskan keselamatan negara.

Di samping itu, Benjy, dalam permohonanya, gagal mendedahkan sebarang motif atau alasan bagi pihak polis bertindak secara niat jahat (mala fide)terhadapnya, katanya.

Najib juga berkata, pegawai yang melakukan tangkapan, Inspektor Nur Hazurah Ab Talib, telah memaklumkan kepada Benjy atas sebab penahanannya dan dia menandatangani sebuah borang.

"Pemohon (Benjy) dimaklumkan dengan jelas mengenai penahanan semula itu dan dia tahu ianya kerana berkaitan dengan dadah," katanya. Perbicaraan disambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain