suria

Kedai Emas Dirompak Ketika Ditutup Hujung Minggu

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik sebuah kedai emas yang ingin memulakan operasi perniagaannya hari ini setelah ditutup pada hujung minggu mendapati kedainya di Jalan Telawi 4, Bangsar di sini dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada pemilik kedai emas berkenaan kira-kira pukul 10 pagi tadi yang memberitahu bahawa kedainya telah dipecah masuk setelah ditutup sejak Sabtu lepas.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek telah memasuki kedai itu dengan menebuk dinding kedai terbabit selepas memecahkan pintu yang menghubungkan tangga di tingkat atas kedai dua tingkat itu.

"Kedai emas itu berada di tingkat bawah manakala kedai di tingkat atas adalah kedai lain yang sedang diubahsuai. Suspek seterusnya bertindak membawa lari barang kemas dalam peti besi di kedai itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan pekerja binaan yang bekerja di kedai tingkat atas terlibat dalam kejadian pecah masuk itu.

"Kita masih menyiasat individu yang terlibat dalam kejadian ini dan kita percaya suspek lebih daripada seorang," katanya. Wan Abdul Bari berkata kejadian tidak disedari orang awam kerana ia berlaku pada hari minggu.

"Apa yang mengejutkan CCTV (kamera litar tertutup) di kedai itu turut diambil oleh suspek," katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian mangsa juga sedang disiasat.

Wan Abdul Bari berharap dengan bantuan CCTV di kawasan berhampiran dan saksi-saksi yang tampil memberi maklumat dapat membantu pihaknya menjalankan siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain