suria

Hulu Selangor: Pengundian Ditutup, 75.87 % Keluar Mengundi

HULU SELANGOR: Proses pengundian bagi kira-kira 63,700 pemilih berdaftar di kawasan kerusi Parlimen Hulu Selangor telah ditutup tepat pukul 5 petang tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan jumlah keluar mengundi yang dicatatkan ialah sebanyak 48,935 atau peratus 75.87 peratus.

Jumlah itu meningkat 0.63 peratus berbanding yang dicatatkan pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu iaitu 75.24 peratus.

Keadaan cuaca yang baik sejak pagi turut memudahkan urusan para pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Kira-kira 799 pengundi pos yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pekerja pilihan raya telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Khamis dan Jumaat lepas.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

BN diwakili Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan dan beliau akan ditentang calon PKR yang mempertaruhkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun kedua-dua calon berkenaan bukan pengundi Parlimen Hulu Selangor.

Pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka di 48 pusat mengundi membaitkan 47 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai untuk memilih calon wakil rakyat mereka.

SPR menjangkakan keputusan bagi pilihan raya berkenaan akan dapat diketahui sekitar pukul 9 malam ini.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru.

Kawasan itu mempunyai 64,500 pengundi dengan 34,020 atau 52.7 peratus adalah Melayu, 16,964 atau 26.3 peratus Cina, 12,453 atau 19.3 peratus India dan kira-kira 1,000 Orang Asli.

Kerusi Parlimen kawasan itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Penamaan calon telah diadakan pada 17 April lepas.

Dr Zainal Abidin memenangi kerusi kawasan itu pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 198 undi selepas menewaskan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang menyandang kerusi itu selama empat penggal.

Artikel Lain