suria

Dua Wanita Miliki Dadah Ditahan Di Tumpat

TUMPAT: Dua wanita salah seorangnya dari negara jiran ditahan di sini semalam kerana memiliki dadah.

Mereka yang berumur 26 dan 33 tahun ditahan kira-kira 7.40 malam di pangkalan haram Nibong.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor, DSP Tan Cheng San berkata kedua-duanya ditahan apabila turun dari sebuah bot yang dipercayai dari negara jiran.

"Bot berkenaan bagaimanapun beredar dalam keadaan mencurigakan setelah dihampiri anggota PGM.

"Ketika kedua-dua wanita itu mahu diperiksa, salah seorang daripadanya membuang satu bungkusan yang didakwa sebagai bungkusan berisi sampah," katanya.

Namun setelah diperiksa, bungkusan itu rupa-rupanya mengandungi 10 botol kecil berisi serbuk putih yang dipercayai dadah, kata Tan.

Beliau berkata dadah tersebut diseludup dari negara jiran yang setiap botol dikatakan bernilai kira-kira RM2,000.

Kedua-dua wanita tersebut telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.

Tan berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun yang dipercayai kawan kepada wanita tempatan tersebut, yang datang ke kawasan berkenaan untuk menjemput kedua-dua wanita itu. - BERNAMA

Artikel Lain