suria

Nazri Sedia Hadapi Tindakan Mahkamah Kerana Dakwa Dr Pornthip Pembohong

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beliau bersedia menghadapi sebarang tindakan mahkamah selepas abang kepada mendiang Teoh Beng Hock memfailkan notis usul menghina mahkamah terhadapnya.

Nazri berkata tindakan Teoh Meng Kee memfailkan notis usul untuk memenjarakan beliau kerana kenyataannya yang mendakwa pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand "pembohong" merupakan hak peribadi Meng Kee.

"Bersedia...bila-bila masa. Ini benda yang terlalu kecil. Lebih ringan daripada nyamuk gigit, tak ada hal," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau juga menolak dakwaan Meng Kee bahawa bahawa kenyataannya itu mempunyai 'kecenderungan untuk mencampuri pentadbiran kehakiman' dalam inkues yang sedang dijalankan.

"Kita belum tahu sama ada pembunuhan atau bunuh diri," katanya.

Jumaat lepas, Meng Kee telah memfailkan notis usul tersebut yang mahu Nazri dipenjarakan kerana menghina mahkamah melalui firma guaman Karpal Singh & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam.

Permohonan itu dibuat mengikut Perkara 26 Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948. - BERNAMA

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain