suria

Sepuluh Laporan Kes ILI Diterima Sehingga 8 Pagi Tadi

PUTRAJAYA: Sehingga pukul 8 pagi ini, Kementerian Kesihatan telah menerima 10 laporan kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang berlaku di Pahang, Melaka, Selangor dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini berkata kes yang dilaporkan itu melibatkan antaranya dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu MRSM Alor Gajah di Melaka dan MRSM Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Laporan kluster ILI turut dilaporkan di Sekolah Kebangsaan Leban Chindong, Rompin, Pahang; Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh, Johor; Kem Program Latihan Khidmat Negara Warisan di Melaka dan makmal Taska 1 Play di Damansara Perdana, Selangor.

"Daripada sepuluh laporan itu lima masih menunggu keputusan dan yang selebihnya sampel positif H1N1," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga pukul 5.30 petang semalam jumlah kes terkumpul kes ILI yang masih dirawat di hospital di seluruh negara adalah sebanyak 525 kes.

"Daripada jumlah itu 70 kes disahkan positif Influenza H1N1, 12 kes dirawat di unit rawatan rapi dan sepuluh kes mempunyai faktor risiko. Tiada kematian dilaporkan sehingga pukul 8 pagi ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain