suria

Keutamaan BN Ialah Calon BN Boleh Menang - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) lebih mengutamakan siapa calonnya yang mampu menang pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada memikirkan calon yang diletakkan oleh Parti Keadilan Rakyat di situ, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Siapa sahaja yang menjadi calon kepada pembangkang, bagi saya tidak menjadi pertimbangan sangat kepada kita kerana sesiapa sahaja yang diletakkan untuk bertanding, yang penting ialah calon kita menang.

"Jadi yang menjadi pertimbangan kita sekarang ialah untuk memastikan bahawa calon kita diterima oleh orang ramai iaitu pengundi di Hulu Selangor," katanya ketika diminta mengulas langkah PKR meletakkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil berkenaan 25 April ini.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini, Hishammuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata langkah BN untuk meletakkan calon daripada MIC bagi pilihan raya kecil itu menunjukkan BN tidak pernah dan tidak akan membelakangkan parti-parti komponennya.

"Tetapi penting juga parti-parti komponen dalam mengetengahkan calon-calon mereka, mestilah realistik dalam memberikan nama dan berbincang dengan pihak pucuk pimpinan tentang calon yang paling layak yang boleh diterima oleh pengundi," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata B Nberpeluang menang dengan syarat jentera parti bergerak ke akar umbi dan berharap calon yang akan diumumkan kelak merupakan calon yang boleh memberi perkhidmatan kepada masyarakat tempatan. - BERNAMA

Artikel Lain