suria

Penyelia Butik Didakwa Kerana Menyamar Sebagai Polis

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia butik pakaian muslimah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis, Khamis lepas.

Razlan Affandi Mohd Johar, 27, didakwa menyamar dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada seorang lelaki warga Bangladesh bernama Nazmul di Lorong Maarof, Bangsar pada jam 4.45 petang, 8 April.

Razlan yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kerana dia hanya berpendapatan RM1,000 sebulan dan tinggal bersama keluarga angkat.

Majistret Nor Azah Kasran membenarkan Razlan dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dan seorang penjamin.

Nor Azah menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Cif Insp R. Rukumar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

ZAID YANG SAYA KENALI...

Artikel Berikut

Artikel Lain