suria

Ibu Tunggal Antara Ditahan Miliki Heroin

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki serta seorang wanita dan merampas 32 paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat kira-kira 120 gram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Pokok Sena, dekat sini, dua hari lepas.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Baharom Othman berkata dadah itu ditemui di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dalam serbuan pada kira-kira pukul 4.30 pagi itu.

Beliau berkata siasatan mendapati rumah berkenaan dihuni oleh ibu tunggal yang berumur 29 tahun itu bersama dua lelaki yang masing-masing berumur 29 dan 42 tahun.

"Nilai pasaran tempatan semua dadah itu dianggarkan RM9,900 dan polis turut merampas wang tunai RM1,300 serta sebuah telefon bimbit, di samping menyita sebuah kereta dan sebuah motosikal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya ketika diserbu ketiga-tiga suspek didapati sedang membungkus heroin, yang dipercayai akan diedarkan kepada penagih di kawasan Pokok Sena dan Alor Setar.

Baharom berkata wanita itu mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah manakala lelaki yang berumur 29 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah serta lima rekod jenayah, dan lelaki berusia 42 tahuh itu pula mempunyai empat rekod dadah.

Beliau berkata semua suspek akan disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain