suria

Usul Rujuk Mahfuz Ke Jawatankuasa Hak Ditarik Balik

KUALA LUMPUR: Usul yang dikemukakan semalam untuk merujuk Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menyebut "Umno-Apco" ditarik balik hari ini.

Anggota Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said menarik balik usul tersebut atas nasihat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta berpuas hati dengan penjelasan Mahfuz bahawa beliau tidak berniat untuk menyelewengkan Dewan dengan ungkapan berkenaan.

"Atas menjaga kemuliaan, persefahaman dan integriti Ahli Yang Berhormat dan memandangkan Yang Berhormat Pokok Sena telah memberikan penjelasan mengenai hal yang berlaku semalam, saya kemukakan usul 26(1)(p) untuk dibuat ketetapan bagi membatalkan usul terdahulu yang diluluskan semalam," katanya.

Terdahulu Pandikar Amin, dalam usaha menyelesaikan isu itu berkata beliau telah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mendapatkan penjelasan mengenai insiden semalam selain meminta persetujuan mereka untuk tidak memanjangkan perkara berkenaan.

"Saya telah memanggil Kuala Krau (Ismail) dan Pokok Sena (Mahfuz) dan semalam Pokok Sena dalam penjelasannya berkata dia tidak punya niat untuk menyelewengkan Dewan (dengan perkataan Umno-Apco-Umno).

"Saya harap ini yang terakhir dan apa yang berlaku semalam kita jadikan iktibar...untuk merujuk seorang Yang Berhormat ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan merupakan sesuatu yang besar dan ini soal integriti seorang Yang Berhormat," katanya.

Justeru katanya semua Anggota Parlimen perlu mengamalkan disiplin dan tidak sewenang-wenangnya melemparkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya selain saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Persidangan Dewan Rakyat kecoh semalam apabila Anggota Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang saling berbalah selepas tidak bersetuju dengan keputusan Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meluluskan usul Ismail untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu atas alasan ia mengelirukan Dewan apabila berkali-kali Mahfuz mengungkap "Umno-Apco, Upco-Umno".

Keadaan tersebut menyebabkan persidangan Dewan bukan sahaja terpaksa ditangguhkan selama 15 minit, tetapi turut ditamatkan kira-kira 75 minit lebih awal kerana keadaan menjadi tidak terkawal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain