suria

Hulu Selangor Kayu Pengukur BN Rampas Selangor: Noh Omar

SHAH ALAM: Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini bakal menjadi kayu pengukur terhadap kemampuan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-13, kata Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kemenangan BN pada pilihan raya kecil tersebut bukan sahaja akan mengubah landskap BN di Selangor yang sebelum pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu memang merupakan kubu kuat BN, tetapi juga mengubah senario politik negara.

"Pilihan raya kecil ini berisiko tinggi, ini kerana di Hulu Selangor nanti kita akan menghadapi cabaran yang cukup kuat kerana berdepan dengan kerajaan negeri yang sudah tentu akan menggunakan pelbagai kemudahan mereka.

"Kita kena terima hakikat, kalau kita menang akan ada perubahan tapi kalau kita kalah, kita akan bimbang kerana rakyat seolah-olah memberi tamparan yang hebat kepada kita, setelah banyak perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Selangor di sini hari ini yang dihadiri lebih 2,000 anggota parti komponen BN.

Kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor berlaku ekoran kematian penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, BN Selangor akan memastikan jentera pilihan raya mereka disusun dengan teratur dan berkesan dalam usaha memujuk pengundi menyokong BN.

"Strategi kita tidak boleh macam biasa, bukan bergantung kepada kuantiti sahaja tetapi juga kualiti. Sasaran kita ialah untuk memujuk rakyat untuk terus sokong BN.

"BN tidak boleh selesa dan kena ada perubahan. Kita tidak boleh defensif tetapi kali ini kena ofensif.

"Jentera pilihan raya kita sudah digerakkan, sekarang dalam peringkat menyusun dan yang penting perancangan. Bila sampai masanya kita akan berhabis-habisan berkempen," katanya.

Mengenai calon, Noh berkata, BN Selangor akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja individu yang akan dicalonkan untuk bertanding.

BN akan menamakan calonnya pada 15 April.

Beliau berkata, BN mempunyai kelebihan dalam berkempen kali ini.

"Saya tidak nampak pembangkang ada isu melainkan fitnah yang akan ditaburkan kepada BN.

"Kita banyak isu sebab mereka sudah jadi kerajaan, dahulu mereka bukan kerajaan sebab itu kita susah hendak serang mereka tetapi sekarang kita ialah pembangkang jadi mudahlah kita nampak kelemahan kerajaan negeri yang ada.

"Saya beritahu rakan-rakan (BN) jangan defensif, biar mereka (pembangkang) pula yang banyak menjawab, sekarang giliran mereka untuk berbuat demikian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain