suria

PM Mahu Rakyat Buat Kesimpulan Sendiri Situasi Politik Pembangkang

KUALA KUBU BARU: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat membuat kesimpulan sendiri mengenai situasi politik pembangkang yang kini dilihat semakin sukar mendapat sokongan daripada anggota parti itu sendiri.

Perdana Menteri berkata pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), kini sering bertelagah sesama sendiri dan pelbagai pendedahan semakin banyak dibuat oleh bekas anggota parti itu, walaupun mereka dikatakan rapat dengan pemimpin parti pembangkang itu.

"Kalaulah orang rapat dengan kita satu demi satu dah hilang kepercayaan dan dah keluar parti, apa kesimpulannya? Kita bukan cakap pasal orang luar, ini orang rapat dengan kita. Apakah mesejnya, apa kesimpulannya?," katanya ketika berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi di sini hari ini.

Najib berkata antara anggota PKR yang keluar parti bukan calang-calang orang, bahkan merupakan golongan intelektual yang juga rapat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertahun-tahun lamanya.

"Saya boleh sebut satu persatu, Dr Chandra Muzaffar bekas timbalan presiden Keadilan. Dia orang kurang upaya tapi dari segi minda dia hebat. Orang yang rapat dengan dia boleh kena pecat, yang turun naik mahkamah hari ini dah hilang kepercayaan kepada pemimpin," katanya.

"Setiausaha Agungnya sama-sama dengan dia di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), dah keluar, akhirnya sampai masa dia diketepikan, diperbodohkan, kepala yang jatuhkan BN suatu masa dulu dah tak percaya kepada PKR," katanya.

Najib menyebut mengenai Datuk Salehuddin Hasim yang menyertai PKR pada tahun 2004 sebagai setiausaha penganjur parti itu untuk tempoh empat tahun sebelum mengambil alih jawatan setiausaha agung parti itu daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008.

Salehuddin dilaporkan melepaskan jawatan itu pada 7 Januari 2010 untuk memberikan tumpuan kepada pernigaan konsultansi minyak dan gasnya.

Najib berkata Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dipecat, dan bekas Ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Nor turut hilang kepercayaan terhadap parti, malah disuruh supaya memfitnah Najib.

"Ezam sanggup masuk penjara kerana Anwar. Anwar pernah suruh dia lawan saya di Pekan, dia tidak mahu tetapi Anwar suruh. Anwar suruh dia fitnah saya pasal kes (wanita Mongolia) Altantuya, tapi tiada bukti.

"Zulkifli pakai ketayap biasanya warak, dia jadi peguam Azilah dia tanya Azilah tapi dia kata Datuk Najib tak terlibat, kalau dia percaya saya terlibat dia takkan keluar (sebagai peguam kes itu)," kata Perdana Menteri.

"Ini mainan politik yang tidak menguntungkan rakyat, nak jadi Perdana Menteri tetapi tak sampai, sebab kerusi perdana menteri Allah yang tentukan. Kita rancang macam-macam pun akhirnya tidak kesampaian," katanya.

Mengenai rancangan pengambilahan kuasa pada 16 Sept 2008, Najib berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menafikan bahawa baginda sudah menunggu di Istana untuk majlis angkat sumpah perdana menteri yang baru.

"Tarikh 16 September nak tubuhkan kerajaan, dia guna nama Agong. Saya tanya Tuanku tapi Tuanku menafikan, tentera juga sedia untuk sokong kerajaan baru, macam-macam bidaah dia buat," katanya.

Dua bekas Anggota Parlimen PKR yang kini menjadi wakil bebas iaitu anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Zulkifli pada persidangan Dewan Rakyat semasa membahas usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong pada baru-baru ini telah mendedahkan mengenai pembohongan Anwar itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain