suria

Hukuman Sebat Kartika Diganti Khidmat Masyarakat

IPOH: Hukuman enam sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor telah diganti kepada khidmat masyarakat selama tiga minggu atas titah Sultan Pahang.

Bapa Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib berkata keputusan mengenai hukuman gantian itu dimaklumkan melalui sepucuk surat rasmi daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang diterima semalam.

"Menerusi surat itu Kartika telah dititahkan Sultan Pahang untuk menerima hukuman gantian iaitu melakukan kerja khidmat masyarakat di sebuah rumah kebajikan di Kuantan...tempoh khidmat masyarakat itu adalah selama tiga minggu dan saya sendiri akan menghantar beliau ke Kuantan pada esok (Jumaat)," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Shukarnor berkata surat tersebut bagaimanapun tidak menyatakan tempat Kartika akan menetap dan "kerja" yang perlu dijalankan.

Shukarnor dan Kartika yang menetap di Sungai Siput dekat sini berkata beliau sekeluarga lega dengan perkembangan terbaru itu dan berharap pelaksanaan hukuman gantian tersebut akan memberi sinar baru kepada anaknya.

"Sudah lama dia ternanti-nanti dan kini sudah tiba masanya dia menerima apa yang telah dititahkan baginda Sultan Pahang...seperti yang dinyatakan sebelum ini, apa jua keputusan baginda Sultan, kami akan menerimanya dengan hati terbuka," katanya.

Katanya, beliau sendiri akan menghantar anak keempatnya itu ke Pejabat Unit Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang pagi esok untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai hukuman khidmat masyarakat itu.

Kartika sementara itu berkata beliau bersedia melakukan hukuman gantian itu walaupun agak terkejut dengan perkembangan berkenaan.

"Saya harap khidmat masyarakat ini akan memberi pengajaran kepada orang ramai supaya menjauhi arak," katanya.

Katanya, dua anaknya akan tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Jawang, Sungai Siput sepanjang dia menjalani kerja khidmat masyarakat itu nanti.

Kartika dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada Julai tahun lalu selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, Pahang.

Pada 24 Ogos, 2009, dia sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang selama seminggu bagi menjalani hukuman sebatan yang dijatuhkan itu sebelum ia dibatalkan pada saat-saat akhir. - BERNAMA

Artikel Lain