suria

Wanita Thailand Ditahan Kerana Miliki Peluru

ALOR SETAR: Seorang wanita warganegara Thailand berusia 30-an ditahan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dekat sini semalam, kerana didapati membawa dua butir peluru jenis .38 dan 5.56.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, wanita terbabit ditahan ketika petugas keselamatan lapangan terbang itu sedang mengimbas beg sandang yang dibawanya.

"Semasa imbasan dibuat, petugas itu terlihat dua objek seperti peluru dan membuat pemeriksaan semula lalu menjumpai peluru itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata, petugas itu menghubungi polis lapangan terbang untuk tindakan dan wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut.

"Wanita itu menaiki teksi dari Songkhla, Thailand ke LTSAH sebelum menaiki penerbangan Malaysia Airlines untuk ke Labuan dan dipercayai bekerja di sebuah syarikat di sana," katanya.

Beliau berkata, wanita itu direman bermula hari ini selama seminggu bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut seksyen 8(a) Akta Senjata Api. - BERNAMA

Artikel Lain