suria

Premis Dijadikan Sarang Pelacuran Diserbu Kali Kelima

KUALA LUMPUR: Walaupun telah diserbu empat kali sejak 2007, 18 premis yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar Brickfieds di sini tidak serik dan terus menjalankan operasi.

Dalam operasi bersepadu terbaru pagi ini oleh beberapa jabatan kerajaan, pihak berkuasa bertindak merampas pelbagai kemudahan di premis terbabit dan memecahkan sekatan-sekatan yang dijadikan lebih 100 bilik untuk tujuan pelacuran.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Rolan Abd Rahman berkata, kali terakhir premis itu diserbu adalah pada pertengahan tahun lepas.

"Dalam operasi hari ini kami merampas kemudahan-kemudahan yang terdapat di premis itu seperti televisyen, kipas, tilam dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika operasi itu hari ini.

Operasi itu melibatkan DBKL, polis, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB). Bekalan air dan elektrik ke premis terbabit dipotong oleh Syabas dan TNB.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana operasi hari ini telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada penyewa premis terbabit.

"Kita beri notis kepada mereka kerana ini arahan daripada Datuk Bandar sebab penyewa membina sekatan untuk dijadikan beberapa bilik dan juga menggunakan premis itu untuk tujuan yang tidak dibenarkan dan tidak mendapat kebenaran," katanya.

Rolan berkata, pihaknya akan mengesan pemilik premis terbabit untuk menasihatkan mereka agar menyewakan premis bagi tujuan perniagaan lain dan bukannya untuk pelacuran. - BERNAMA

Artikel Lain