suria

Dua Lelaki Ditahan Penduduk Ketika cuba curi Kabel Telefon

GUA MUSANG: Dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun ditahan penduduk kampung ketika cuba mencuri kabel telefon di tepi Jalan Kuala Betis - Gua Musang berhampiran Kampung Lalang, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, kedua-dua lelaki itu yang cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal ke arah Gua Musang dikejar penduduk kampung terbabit sebelum motosikal mereka terbabas lalu merempuh tebing konkrit tepi jalan menyebabkan mereka terjatuh.

Ketua Polis Daerah Gua Musang DSP Aziz Hassan berkata kejadian itu disedari penduduk kampung semasa melihat dua lelaki sedang menarik kabel telefon dalam keadaan mencurigakan sebelum mengerah lebih ramai penduduk mengepung dua suspek.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit yang cedera termasuk seorang daripadanya parah dan kritikal akibat kemalangan itu dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kota Baharu untuk rawatan lanjut.

Katanya hasil siasatan menjumpai semula kabel telefon yang siap dipotong itu ditinggalkan di tempat kejadian selepas suspek dikejar penduduk sejauh empat kilometer sebelum berlaku kemalangan itu.

"Kes ini adalah pertama kali dikepung penduduk dan kita mahu kerjasama seumpama itu bagi mengesan kegiatan mencuri kabel yang semakin aktif berlaku di daerah ini," katanya.

Katanya dua lelaki terbabit disiasat di bawah Seksyen 431 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh dikenakan hukuman denda tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain