suria

Kumpulan Curi Kereta 'Ijo' Tumpas

SEREMBAN: Tiga kumpulan pencuri kereta dan motosikal yang digelar Ijo, Total Lost dan Satria GTI yang terbabit dengan aktiviti curi kenderaan di negara ini sejak dua tahun lepas, tumpas satu-satu di tangan polis sejak awal tahun ini.

Ketiga-tiga kumpulan ini menyebabkan kerugian harta benda kepada mangsa-mangsa bernilai RM250,000 di mana, sebanyak RM70,000 merupakan nilai motosikal yang dicuri.

Menurut Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh, kumpulan pertama yang digelar Ijo yang aktif sejak awal tahun lalu dan tumpas pada Januari lepas di mana empat anggota daripada tujuh anggota kumpulan itu ditangkap polis.

Kumpulan ini yang terdiri daripada enam lelaki dan dibantu oleh seorang perempuan, berusia antara belasan tahun hingga ke 40an, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis juga menemui 15 motosikal yang dicuri dan model popular mereka ialah Yamaha Rx-Z, LC 135 dan Honda EX5, katanya.

Kumpulan Total Lost yang aktif sejak 2008 dan tumpas pada awal bulan lepas, terdiri daripada enam lelaki yang sangat aktif di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur, kata Osman.

Mereka ini mencuri kereta berdasarkan model-model yang ditempah pelanggan dan biasanya akan menukar nombor enjin dan casis sebelum menjualnya," katanya.

Ekoran tangkapan itu, polis turut menjumpai sembilan kereta yang dicuri, kata beliau. Kumpulan ketiga iaitu Satria GTI yang aktif sejak 2008 tumpas pada bulan ini dengan tertangkapnya empat anggota daripada 12 orang ahlinya, katanya.

"Mereka ini mencuri kereta-kereta yang sudah dimodifikasi dan menjual aksesori kereta mangsa, enjin kereta dijual sebagai besi buruk," katanya.

Osman berkata, kebanyakan anggota kumpulan ini terdiri daripada bekas mekanik dan ada seorang dua yang mengulangi perbuatan jenayah mereka walaupun pernah ditangkap polis.

Beliau juga memberi amaran bahawa polis sudah mendapat maklumat mengenai pembeli-pembeli kenderaan atau aksesori curi ini dan para pembeli ini akan dihadapkan ke muka pengadilan kerana bersubahat membeli barangan curi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau memberi amaran terutamanya kepada warga emas supaya berhati-hati ketika berada bersendirian di rumah.

"Kita dapat kesan satu trend menjadikan warga emas sebagai mangsa samun dan di Seremban setakat tahun ini sahaja sudah ada 55 kes," katanya.

Penjenayah ini yang biasanya berdua akan berpura-pura bertanya jalan atau meminta air sebelum meragut barang kemas yang dipakai mangsa, tegasnya.

Kebanyakan kes berlaku di rumah dan ada mangsa yang bersikap cuai di mana mereka tidak mengunci rumah semasa ketiadaan anggota keluarga yang lain, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahrain Pembohong Besar

Artikel Lain