suria

Tiga Lelaki Larikan Wang Dan Pacuan Empat Roda Dalam Kejadian Samun

KUANTAN: Tiga lelaki bersenjatakan parang dan pemotong besi melarikan barang kemas, wang tunai, dan kenderaan pacuan empat roda yang nilai kesemuanya berjumlah kira-kira RM100,000 dalam satu kejadian samun di rumah seorang peniaga di Felda Ulu Jempul, Jengka, semalam.

Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Inspektor Nurzulaika Isha berkata suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui pintu belakang pada kira-kira pukul 3 pagi.

"Dua daripada suspek menutup muka dengan baju manakala seorang lagi memakai topeng, dan selepas memasuki rumah itu mereka memberi amaran kepada penghuninya supaya tidak menjerit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata peniaga yang berusia 30-an itu dan isterinya itu kemudian diikat sebelum suspek menyelongkar rumah, merampas rantai leher, serta memeras wang daripada mereka.

Katanya kerana bimbang diapa-apakan, peniaga itu memberitahu suspek bahawa wang tunai RM3,000 ada disimpan di dalam kenderaan pacuan empat rodanya, dan suspek yang dipercayai warga Indonesia kemudiannya terus melarikan kenderaan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain