Kes Saman Nik Sapeia RM20 Juta Terhadap Polis Dan Kerajaan Berjalan Serentak - Semasa | mStar

Kes Saman Nik Sapeia RM20 Juta Terhadap Polis Dan Kerajaan Berjalan Serentak

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membuat keputusan agar dua kes saman seorang ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia didengar secara serentak di mahkamah itu pada Julai ini.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim yang membuat keputusan itu di dalam kamarnya kemudian menetapkan 4 hingga 6 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi kes tuntutan saman sebanyak RM20 juta Nik Sapeia itu berhubung tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Julai 2006.

Pada prosiding 18 Jan lalu, perbicaraan kes tersebut ditangguh bagi membolehkan Ketua Hakim Negara membuat keputusan pemilihan hakim bagi mendengar kes saman berkenaan ekoran hakim yang mendengar kes tersebut sebelum ini iaitu Datuk Mohd Azman Hussin telah berpindah ke tempat lain.

Nik Sapeia, 56, memfailkan dua writ saman di Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Ogos 2006 dan menamakan Pegawai Penyiasat ASP Baharin Mohd Noh, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Plaintif yang juga Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) itu mendakwa ketiga-tiga defendan mempunyai niat menjatuhkan maruahnya ketika mengendalikan kes bersabit tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Tun Dr Mahathir dan tiga yang lain.

Plaintif turut mendakwa ketiga-tiga defendan itu secara salah menahan dirinya dan menafikan hak-hak kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Berikutan tindakan defendan itu plaintif mendakwa mengalami kerugian dalam perniagaannya dan hal itu juga telah menjejaskan reputasi dan kredibilitinya di mata masyarakat terutamanya rakan-rakan perniagaan di dalam dan luar negara.

Plaintif telah menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta kerana malu dan perniagaannya serta reputasinya terjejas dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada prosiding hari ini Nik Sapeia diwakili peguam Mohd Rafizi Abdullah bagi pihak Zainal Abidin Mustafa dan Shamsul Bahrain Ibrahim manakala ketiga-tiga defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Aida Nurdiana Che Kamarulzaman.

Pada 14 Januari lalu, Nik Sapeia telah dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mencederakan Dr Mahathir dan tiga yang lain termasuk anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Hukuman itu bagaimanapun ditangguhkan selepas selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

Artikel Lain